DALAT: Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah telah mengadakan mesyuarat pertama bagi membincangkan pembangunan pekebun kecil rumbia di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah, Zaidell Hussaini. Turut hadir ialah seramai 15 ahli Jawatankuasa Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat serta sembilan orang staf Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB).
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pemulihan kebun rumbia atau balau, serta pengumpulan data berkaitan pekebun-pekebun yang terlibat. Data lengkap bagi pekebun rumbia di kawasan Dalat turut dikumpulkan semasa mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, pihak lembaga berharap agar industri sagu dan nipah terus berkembang maju demi manfaat semua pekebun kecil rumbia di seluruh Sarawak. Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pengembangan Tanaman (Crop Development and Extension Division – CDED), Dr Hasawardi Hazmi.