Masa Depan Cerah Industri Sagu: Penubuhan Lembaga SNDB Pacu Pembangunan Dalat

Posted on 02 Dec 2025
Source of News: Suara Sarawak

MUKAH: Masa depan industri sagu di Sarawak dilihat semakin cerah dengan penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB), sebuah agensi khusus yang akan memantau serta memajukan kedua-dua industri berpotensi besar itu.

Pada peringkat awal, cadangan asal hanya melibatkan penubuhan Lembaga Sagu. Namun, hasil pandangan dan keputusan Premier Sarawak, industri nipah turut digabungkan di bawah lembaga yang sama. Penubuhan tersebut sudah pun diluluskan oleh Kabinet Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan turut meluluskan pembinaan Kompleks SNDB, yang bakal menempatkan pejabat lembaga berkenaan berhampiran Kompleks Kebajikan Dalat.

Menurut beliau, kompleks tersebut bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi turut menempatkan galeri industri sagu yang mempamerkan keseluruhan proses dan perkembangan industri dari huluan hingga hiliran.

“Malah, ia juga bakal menjadi tarikan agropelancongan baharu di Sarawak yang menyerlah lagi potensi dan masa depan sagu daerah ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Pemindahan Teknologi di Dalat.

Beliau yang juga ADUN Dalat turut menzahirkan penghargaan kepada Craun Research atas sumbangan mereka dalam menjalankan pelbagai kajian saintifik bagi meningkatkan produktiviti tanaman sagu.

Namun, katanya, hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada amalan pertanian sebenar agar manfaatnya dapat dirasai para pekebun kecil.

“Penyelidikan yang hanya kekal di atas kertas tidak memberi impak kepada komuniti. Fokus utama ialah memastikan hasil kajian diaplikasikan di lapangan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan tahniah kepada Craun Research atas kejayaan terbaharu apabila kerajaan negeri bersetuju memindahkan entiti tersebut daripada MIE ke M-BioTech, bagi memastikan penyelidikan berkaitan sagu dan nipah dijalankan dengan lebih tersusun dan berfokus.

Katanya, penggunaan teknologi pertanian moden seperti sistem pintar dan kecerdasan buatan (AI) amat penting bagi meningkatkan hasil tanaman dan kualiti produk. Industri sagu yang bebas gluten juga berpotensi besar menembusi pasaran makanan sihat global.

Dalam masa sama, beliau berbangga dengan inisiatif bersama Petronas melalui program CSR yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran sungai, malah menghasilkan produk sampingan bernilai seperti baja dan makanan ternakan, sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan bahan buangan sebagai sumber baharu ekonomi luar bandar.

Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Ketua Bahagian Teknologi Huluan (mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research Sdn Bhd), Dr Bala Jamel, Pengurus Besar, Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB), Zaidell Hussaini dan Pengendali Kursus Teknologi Makanan Berasaskan Sagu, Venus Biotech Sdn Bhd, Dr Abdul Manan.

TAMAT

Gambar:t.
Dato Sri Fatimah Abdullah mengabadikan kenangan bersama tetamu jemputan lain pada Majlis Penangguhan Program Pemindahan Teknologi di Dalat.



© Copyright of Sago and Nipah Development Board
Last Updated On 06 May 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8.00am to 1.00pm & 2.00pm to 5.00pm

Friday
8.00am to 11.45am & 2.15pm to 5.00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Closed
image Polls
image Announcement